Datuk Ibrahim Yahya
PENDERITAAN mental dan fizikal oleh pemerintahan regim China ke atas masyarakat Muslim Uyghur di Xinjiang merupakan rahsia umum yang telah ramai ketahui.
Namun, akibat pengaruh ekonomi, dagangan dan kekuatan ketenteraan China yang pesat berkembang telah membuatkan dunia memilih untuk membisu dan membuta; sehingga tragedi kemanusiaan Muslim Uyghur ini seakan-akan tidak pernah terjadi.
Cengkaman pengaruh ekonomi China yang terlalu hebat, peluang pinjaman kewangan yang lumayan serta tawaran pelaburan berkontrak besar dijanjikan China sehingga ihsan dan empati kepada kaum minoriti Muslim Uyghur ini didiamkan.
Hakikatnya, Muslim Uyghur di China telah sekian lama didiskriminasikan. Pelbagai sekatan dikenakan ke atas mereka terutamanya dalam hal ehwal ibadah seperti sekatan berpuasa, solat, sunat menyimpan janggut dan larangan menghadiri kelas agama bagi kanak-kanak Muslim Uyghur.
Belum lagi kisah mereka diseksa secara fizikal oleh kekejaman regim pemerintah.
Malaysia wajib bersuara dan bertegas bagi menegakkan hak saudara seIslam khususnya kaum minoriti Muslim Uyghur di daerah Xinxiang yang telah lama diseksa dan ditindas.
Sudah tiba masanya, Malaysia perlu lantang dengan teguh menyuarakan pendirian kita terhadap isu-isu penentangan dan penindasan agama terhadap kaum-kaum minoriti di seluruh dunia.
Sebagai sebuah negara Islam yang berdaulat, adalah tidak menghairankan sekiranya Malaysia memainkan peranan aktif dalam perjuangan melindungi umat Islam; lebih-lebih lagi melibatkan isu penindasan kemanusiaan seperti yang menimpa Muslim Uyghur.
Pada Julai lalu, sebuah himpunan telah diadakan melibatkan wakil rakyat dan para pemimpin NGO tempatan dan antarabangsa dalam ‘Forum Kemanusiaan:Peduli Uyghur’.
Himpunan tersebut adalah manifestasi kemaraan suara Keluarga Malaysia serta solidariti menentang penindasan hak asasi dan kemanusiaan kepada etnik minoriti Muslim Uyghur di China.
Pelbagai resolusi berjaya dicapai bagi merencana kebangkitan agenda nasional sehingga mencetus perbincangan di Parlimen.
Malahan, kunjungan delegasi pemimpin Uyghur ke Malaysia; terdiri daripada para pemimpin barisan hadapan dan pejuang utama dalam perjuangan membebaskan penindasan Minoriti Muslim Uyghur di Xinxiang, telah menjadi satu peristiwa penting untuk Malaysia terlibat secara aktif dalam membantu etnik Muslim Uyghur ini dengan lebih efektif.
Penglibatan pemimpin merentas sempadan antarabangsa ini bertujuan merencana tindakan kerjasama antara pemimpin dan NGO Malaysia supaya penyaluran bantuan dan sokongan kepada etnik Uyghur di Xinxiang dapat membuahkan hasil.
Sememangnya Malaysia sudah punya sejarah dan rekod cemerlang memerangi penindasan kemanusiaan.
Pemimpin kita lah yang lantang menentang secara terbuka di Bumi Washington tentang kekejaman Israel dan Zionis; masyarakat kita juga lah yang istiqamah menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Palestin.
Maka, iltizam dan rekod Malaysia ini sudah berada pada landasan yang tepat, untuk para pemimpin, NGO dan seluruh masyarakat; bersama-sama terlibat menggerakkan satu mekanisme mega bagi mendaulatkan kepentingan kesaksamaan bagi sahabat Muslim Uyghur sekaligus membenam kezaliman regim komunis di China.
Penulis adalah Penganalisis Hubungan Antarabangsa.
Petikan ini adalah kenyataan penulis, tidak disunting sepenuhnya dan tidak semestinya melambangkan pendirian Malaysiapost.

