Undang-undang larangan lompat parti berkuat kuasa esok

0
2

AKTA Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Parlimen melompat parti, akan berkuat kuasa mulai esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pelaksanaan tarikh kuat kuasa akta itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau turut menjunjung kasih terhadap perkenan Seri Paduka Baginda yang membolehkan akta itu dikuat kuasa sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, akta itu sebelum ini diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu iaitu 209 Ahli Dewan Rakyat menyokong, selain 52 senator di Dewan Negara pada 9 Ogos.

“Yang di-Pertuan Agong juga sudah perkenan tarikh kuat kuasa Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 pada 5 Oktober 2022 selaras dengan seksyen 1(2) dan seksyen 1(3) Akta A1663,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, dengan penetapan tarikh baharu kuat kuasa bagi Akta A1663, pindaan bagi seksyen 7A Jadual Kelapan, Fasal 6 Perkara 48, Perkara 160 dan Fasal baharu 3A Perkara 10 serta Perkara baharu 49A, dapat dikuatkuasakan dengan segera.

“Ini seterusnya membenarkan pemakaian Akta A1663 ini di peringkat Negeri, tertakluk perkenan Sultan/Tuan Yang Terutama/Raja Negeri berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan komited memastikan undang-undang larangan Ahli Parlimen bertukar parti yang digubal, dapat melindungi hak rakyat yang memberi kepercayaan tinggi kepada wakil rakyat yang dipilih ketika pilihan raya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here