PRU15: Zahid arah Umno negeri beri senarai calon

0
1

Najamuddin Mohd Nor

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan semua pengerusi Umno negeri menyerahkan nama calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) minggu depan.

Menurut Presiden Umno itu, arahan tersebut dikeluarkan dalam perjumpaan khas yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di ibu negara hari ini.

“Kita akan mendapatkan senarai nama calon itu minggu depan. Kita mulakan perbincangan dan rundingan bermula Isnin depan,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, calon Umno yang bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRU15 kemudian akan ditentukan hasil perbincangan ‘top five’ parti tersebut.

“Pengerusi perhubungan negeri akan mengemukakan nama calon kepada ‘Top Five’ bagi penentuan mereka yang memenuhi kriteria ‘WALI’ iaitu winnable (boleh menang), acceptable (boleh diterima) and likeable (disenangi).

“Siapa saja yang memenuhi kriteria ini akan menjadi calon,” katanya lagi.

Top 5 merujuk kepada lima pemimpin tertinggi dalam Umno iaitu Presiden, Timbalan Presiden serta tiga Naib Presiden.

Sementara itu Ahmad Zahid membayangkan perjumpaan khas hari ini merupakan program terakhir parti itu sebelum PRU15.

“Pada hemat kami ini adalah perjumpaan yang kali terakhir sebelum PRU15 diadakan.

“Saya telah memberi amanat bersama Perdana Menteri kepada kepimpinan parti empat peringkat ini, pertamanya untuk semua jentera parti bersiap siaga hadapi pilihan raya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here