DATUK Seri Azalina Othman Said mendakwa pernah diberikan pelbagai habuan dan tawaran oleh pihak tertentu supaya ‘lompat’ ke parti lain.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pengerang itu menegaskan, beliau tidak akan sesekali berbuat demikian dan berjanji untuk terus setia bersama Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Saya tidak keluar dan tidak lari, saya pegang janji saya kepada orang Pengerang, kita hidup mati bersama, mereka ikhlas dengan perjuangan saya dan saya juga ikhlas dengan perjuangan orang Pengerang,” katanya seperti dilapor Utusan.
Beliau berkata demikian selepas mengulas dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah perkenankan permintaannya untuk menghadap baginda 13 Oktober ini.
Anwar dilaporkan berkata, tujuan mengadap itu adalah untuk mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang menyokongnya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa, beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Mengulas lanjut, Azalina yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong akan membuat keputusan terbaik dengan meletakkan kepentingan rakyat dalam menentukan hala tuju politik di negara ini.
“Kita tunggu Selasa ini tengok apa jadi. Selagi belum ada undang-undang lompat parti, sesiapa pun boleh lompat parti. Kita boleh dengar cerita lompat parti tiap-tiap minggu macam dalam cerita Hollywood atau Bollywood.
“Pening kepala rakyat, macam-macam berlaku, hari ini dia lompat esok dia pusing balik. Malapetakalah negara kalau macam ini. Ini boleh berlaku hari-hari, susahlah kita macam ini,” katanya. – Malaysiapost

