9 pegawai kanan polis dipanggil SPRM

0
2

SEMBILAN pegawai kanan polis dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung pembabitan dalam sindiket perjudian dalam talian dan penipuan (scam).

Sumber berkata, tiada tangkapan dibuat SPRM setakat ini dan suruhanjaya itu masih dalam proses mengumpul keterangan.

“Sebanyak 736 akaun dibekukan membabitkan penyitaan berjumlah kira-kira RM101 juta.

“Dua suspek utama kes ini akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi disambung reman esok,” katanya seperti dilapor BH.

Katanya, ketika ini sebanyak 39 saksi dirakam percakapan dan 19 orang ditahan.

“Daripada jumlah yang ditahan, sembilan orang masih direman,” katanya.

Mengulas lanjut, sumber berkata, gerakan mengesan saki-baki sindiket itu ditumpukan kepada agensi penguatkuasaan yang terbabit.

“Fasa seterusnya ialah memberi fokus kepada individu atau syarikat yang dikenal pasti terbabit dalam pengubahan wang haram.

“Seperti ditegaskan Ketua Pesuruhjaya SPRM, pihak yang terbabit diminta tampil ke SPRM bagi membantu siasatan sebelum tindakan tegas diambil terhadap mereka.

“SPRM memberi masa selewat-lewatnya sehingga Isnin ini untuk mereka menyerah diri,” katanya.

Sumber itu berkata, individu dan syarikat yang dibekukan akaun bank mereka juga wajar tampil untuk memberi keterangan dan tidak menunggu sehingga tindakan susulan diambil terhadap mereka.

Sebelum ini, media melaporkan, pada Sabtu dan Ahad lalu, beberapa pegawai kanan polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ditahan SPRM bagi membantu siasatan.

Mereka ditahan dan dipanggil untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan melindungi aktiviti kegiatan perjudian dalam talian yang dikendalikan oleh kartel tempatan sehingga terbabit dalam pengubahan wang haram. – Malaysiapost