Parti tak mahu PRU-15 dah hilang pedoman, akal – Zaid Ibrahim

0
3

PARTI politik di Malaysia selain Barisan Nasional (BN), semuanya kini disifatkan macam sudah hilang pedoman dan akal kerana tidak mahu mengadakan pilihan raya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata keadaan itu menjadikan Malaysia satu-satunya negara di dunia ini di mana parti pembangkang tidak mahu pilihan raya.

Menurutnya, ada pimpinan sebuah parti iaitu Bersatu yang mempersoalkan bagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh membubarkan Parlimen tanpa persetujuan semua ahli Kabinet kerajaan.

“Kabinet ini adalah Kabinet Perdana Menteri dan mereka yang tidak bersetuju itu bernasib baik kerana Perdana Menteri adalah Ismail Sabri, kalau orang lain dia dah pecat mereka semua.

“Mana boleh tidak bersetuju dengan Perdana Menteri kerana kamu ahli Kabinet. Kalau kamu tak setuju kamu berhentilah..itu prinsipnya mudah sahaja. Jadi soal pembubaran ini atas keputusan Perdana Menteri,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, selain itu terdapat seorang pemimpin PKR yang mengatakan Umno tidak boleh bubar Parlimen kerana hanya ada 38 kerusi sahaja.

“Soal pembubaran tiada kena mengena dengan majoriti dalam Parlimen. Kalau sokongan Perdana Menteri itu hanya 38 orang sahaja, maka buatlah usul tidak percaya, jatuhlah dia (Ismail Sabri).

“Dia kekal sekarang ini sebagai Perdana Menteri kerana kamu yang sokong dia. Pas, Bersatu, PKR dan DAP semua sokong dia. Sebab itu dia kekal. Jadi bila dia jadi Perdana Menteri maka dia boleh bubarkan Parlimen bila dirasakan sesuai,” katanya.

Zaid berasa hairan kenapa parti-parti berkenaan tidak mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tahun ini dengan memberikan pelbagai alasan termasuk musim tengkujuh dan musim perayaan.

“Yang takut sangat pembubaran ini apasal? Kata kuat semua..pintar mentadbir.

“Ada seorang lagi pemimpin pembangkang yang buat analisa kononnya sokongan orang Melayu terhadap Umno telah berkurangan hingga 20 peratus. Kalau dah berkurangan bubarlah dan buat pilihan raya

“Musim tengkujuhlah, Hari Raya Melayu, Cina dan tak hormat Agong, macam-macam alasan.

Beliau meminta pemimpin-pemimpin Umno yang merasakan parti itu tidak kuat dan akan kalah kalau tidak berpakat dengan Pas supaya tidak berasa bimbang.

“Kalau kita tak kuat takkanlah semua tak mahu pilihan raya. Tak masuk akal, mereka tidak mahu pilihan raya kerana takut kalah itu sahaja.

“Saya seru kepada semua ahli Umno dan BN serta Perdana Menteri sendiri untuk meneruskan rancangan bubar Parlimen untuk adakan pilihan raya.

“Siapa yang dapat sokongan dan mandat rakyat dialah akan memerintah. Itulah yang sebaik-baiknya untuk semua pihak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here