PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadiri perjumpaan khas bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Terdahulu, ketibaan Ahmad Zahid disambut meriah ahli Umno sebaik tiba di Dewan Hussein Onn kira-kira jam 2.40 petang tadi.
Turut kelihatan kelibat beberapa pemimpin Umno antaranya Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Datuk Seri Dr Zambry Kadir mengiringi Presiden Umno masuk ke dewan.
Ismail Sabri hadir lima minit selepas ketibaaan Ahmad Zahid.
Difahamkan, perjumpaan ini diadakan sebagai medium untuk Presiden Umno dan Perdana Menteri menyampaikan amanat khas kepada semua ketua bahagian dan sayap parti itu menjelang Piliham Raya Umum ke-15 (PRU15) yang semakin hampir ini.
Perjumpaan khas turut membabitkan semua 191 ketua bahagian termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat dimulakan dengan ucapan Perdana Menteri diikuti ucapan Ahmad Zahid.
“Kami akan bincangkan perkara yang baik-baik saja.
“Saya akan tahu (butiran perjumpaan khas) selepas ucapan diberikan oleh kedua-dua pemimpin. Sidang media akan diadakan selepas itu nanti,” katanya.
Beliau juga enggan mengulas sama ada ia membabitkan pembubaran Parlimen dan PRU15. – Malaysiapost

