Najib minta kerajaan beri dana bantu rakyat Sabah

0
3
FILE PHOTO: Former Malaysian Prime Minister Najib Razak arrives at Kuala Lumpur High Court in Kuala Lumpur, Malaysia, June 1, 2020. REUTERS/ Lim Huey Teng

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta kerajaan pusat memberi dana yang cukup besar kepada Sabah untuk segera membantu rakyat serta perniagaan yang tertekan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ekonomi yang lembab.

Katanya, untuk tujuan ini, perlu disegera agihkan bayaran cukai jualan petroleum kepada Sabah seperti dana RM2.9 bilion yang telah dibayar kepada Sarawak bulan lalu.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ia tanggungjawab kerajaan pusat untuk membantu Sabah.

“Saya amat risau tentang keadaan Covid di Sabah yang terus mencatat jumlah kes baru yang tinggi setiap hari. Kebimbangan saya ialah perang Covid di Sabah mungkin akan mengambil masa yang agak lama.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya harap kerajaan pusat akan segera menyediakan pusat-pusat kuarantin yang secukupnya dekat dengan setiap hospital dalam daerah hot-spot.

“Mereka yang positif Covid, tetapi tidak mempunyai gejala atau hanya gejala ringan boleh dipindahkan dari hospital dan ditempatkan di situ supaya hospital boleh fokus kepada kes Covid yang lebih serius,” katanya menerusi Facebook.

Najib berkata, pendekatan itu telah diambil di negara jiran Singapura, di mana pesakit Covid yang tidak serius dihantar ke resort atau hotel yang dikawal dan dijaga oleh kakitangan Kementerian Kesihatan.

“Selain itu, kerajaan boleh mengenal pasti front-liners Kementerian Kesihatan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak yang sanggup dihantar dengan segara untuk membantu berkhidmat di Sabah dalam masa terdekat jika diperlukan.

“Serta mengumpul atau membeli PPE, kelengkapan dan ubat yang mencukupi untuk dihantar ke Sabah. Semua langkah ini tidak menelan perbelanjaan yang besar.

“Sediakan dulu. Ianya tidak membazir sangat jika tidak diperlukan, tapi jika kita tidak bersedia, akibatnya parah,” katanya.-Malaysiapost