Khalid Samad dakwa cara MKN kendali isu kuarantin pulang dari Sabah mengelirukan

0
2

CARA Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengendalikan isu kuarantin setelah pulang dari Sabah sangat mengelirukan, dakwa Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata ia telah menyebabkan banyak kekeliruan kepada orang ramai dan sangat tidak wajar berlaku.

Khalid menjelaskan, beliau berada di Kota Kinabalu pada 21 hingga 24 September, sementara kerajaan mewajibkan ujian Covid-19 dan kuarantin kendiri sehingga menerima keputusan bagi mereka yang pulang dari Sabah mulai 27 September.

Oleh itu, beliau tidak melakukan ujian saringan atau kuarantin kerana pulang dari Sabah pada 24 September.

“Namun demikian pada 29 September, pihak Selangor Task Force Covid-19 (STFC) telah menasihatkan supaya mereka yang pulang dari Sabah bermula 20 September menjalani ujian Covid-19.

“Oleh itu saya mula mengurangkan pergerakan. Seterusnya menjalani ujian Covid-19 pada 1 Oktober di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPU) dan mengambil langkah berjaga-jaga mengikut SOP sebaik mungkin.

“Alhamdulillah ujian Covid-19 yang saya jalani pada adalah negatif. Namun demikian saya terus mengurangkan pergerakan dan terus mematuhi peraturan yang ada,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Khalid menambah, kelmarin iaitu hari ke-14 pulang dari Sabah, beliau menjalani ujian Covid-19 kali kedua atas pilihan sendiri bagi memastikan benar-benar bebas wabak itu.

“Hasil keputusan ujian kedua saya yang diterima hari ini negatif. Saya mendoakan agar semua yang dijangkiti Covid-19 segera sembuh.

“Saya juga berharap kita semua sama-sama patuh arahan dan nasihat Kementerian Kesihatan dan mudah-mudahan negara kita selamat dari Covid-19 segera,” katanya. – Malaysiapost