MOTAC semarakkan kempen ‘Ini Batik Malaysia’ di Parlimen

0
3

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) hari ini mengadakan pameran sempena kempen ‘Ini Batik Malaysia’ di bangunan Parlimen.

Menerusi kenyataan hari ini, MOTAC berkata kempen itu yang bermula 1 Julai lalu adalah inisiatif Kraftangan Malaysia dalam memartabatkan industri kraf batik tempatan.

Katanya, ia selaras dengan pengisytiharan Hari Batik Malaysia pada 3 Disember setiap tahun dan pemakaian baju Batik Malaysia pada setiap Khamis.

“Objektif kempen ini bertujuan memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai Batik Malaysia serta menggalakkan pemakaian Batik Malaysia dalam kalangan Keluarga Malaysia.

“Selain itu, turut diberikan pemberian baucar yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 iaitu kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0) tahun 2020.

“Inisiatif ini dilaksana untuk menggalakkan orang ramai membeli produk kraf Malaysia,” kata MOTAC hari ini.

Tambah kementerian itu, pada awal 2022, insentif baucar pembelian produk kraf tempatan sebanyak RM3.8 juta ditawarkan kepada orang ramai.

Menurutnya baucar bernilai RM30 bagi setiap gandaan RM100 diberikan untuk pembelian produk kraf dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Penawaran baucar itu, katanya, memberi manfaat langsung kepada komuniti kraf dengan janaan nilai jualan RM21.7 juta.

“Melihat kepada kejayaan inisiatif ini, MOTAC sekali lagi memperuntukkan insentif baucar pembelian produk kraf Malaysia sebanyak RM3 juta.

“Insentif ini ditawarkan mulai 16 September 2022 bersempena sambutan Hari Malaysia. Semoga dengan kempen ‘Ini Batik Malaysia’, dapat memberi kesedaran, pengetahuan dan menyemai jati diri identiti Keluarga Malaysia menerusi pemakaian Batik Malaysia.

“Usaha ini mampu melonjakkan permintaan terhadap produk kraf batik sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan dan komuniti kraf,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here