Umno tidak boleh ulangi kesilapan, kekang ‘gunting dalam lipatan’ – Zahid

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan parti itu memecat dan menggantung keahilan ahli dibuat secara kolektif dan musyawarah.

Tegasnya lagi, tiada mana-mana individu berkepentingan di sebalik keputusan berkenaan, malah ia adalah tindakan yang diputuskan bersama demi kemaslahatan Umno.

“Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kemuafakatan, kebersamaan serta perpaduan Umno bergerak sehati sejiwa perlu diperkasakan.

“Sebarang anasir yang boleh memecahbelah atau mengganggu-gugat ditangani sebaik mungkin dengan respons (maklumbalas) sewajarnya

“Ia termasuk anasir dalaman yang berusaha memburuk-burukkan institusi kepimpinan parti yang menjadi benteng kepada perjuangan Umno,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, sekiranya institusi kepimpinan parti dilemahkan dengan anasir dalaman yang merekayasa dakyah dan tohmahan tentunya ia akan merosakkan keharmonian dalam Umno.

“Bukan sahaja Umno, malah badan politik lain juga melakukan tindakan yang sama bagi memastikan institusi kepimpinannya dihormati.

“Seperti saya katakan kini bukan masa untuk menoleh. Umno telah mengambil tindakan dan keputusan bersama demi kepentingan parti ini,” katanya.

Beliau berkata, keputusan yang diambil itu adalah suatu penegasan oleh parti bahawa Umno tidak pernah berkisar tentang individu sebaliknya mengenai rakyat dan negara.

“Umno sebuah perjuangan agama, bangsa dan tanah air. Kesilapan lalu tidak boleh berulang. ‘Gunting dalam lipatan’ perlu dikekang.

“Gerak kerja PRU15 menjadi fokus utama sehingga tiba tarikh penting itu,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Umno menggantung keahlian bekas ahli Majlis Kerja tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selama enam tahun.

Penggantungan Tajuddin dan juga Ketua Bahagian Umno Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail diumumkan dalam mesyuarat MKT, Jumaat lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here