PENYATUAN ummah antara Umno dan PAS tetap perlu disuburkan tanpa terikat dengan kejayaan perundingan dalam pilihan raya atau sebaliknya.
Bekas pemimpin PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata budaya politik matang sejahtera sangat penting ke arah membina kestabilan politik negara seterusnya memberi kesan kepada situasi ekonomi dan kebajikan rakyat.
“Sudah bertali arus kenyataan media antara Umno dan PAS ke arah penyatuan ummah bagi mengembalikan semula semangat Muafakat Nasional.
“Keterbukaan kedua-dua pihak untuk berunding sememangnya dinantikan khususnya oleh rakyat Melayu Islam dalam negara ini.
“Bagi saya, “bottom line” penyatuan ini ialah budaya politik matang dan sejahtera antara kedua belah pihak dalam apa situasi pun, bukan hanya terhad kepada pilihan raya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu hari ini Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata PAS akan mengkaji secara mendalam berhubung keterbukaan Umno memulihkan agenda penyatuan ummah menerusi MN sebelum membuat keputusan muktamad, hujung minggu ini.
Takiyuddin berkata perkara itu memerlukan kajian dengan mengambil kira aspek maslahah yang lebih besar serta mudarat (risiko) yang paling ringan.
Dalam hantaran berasingan, Mohd Khairuddin berkata penyatuan ummah adalah perjuangan bersama semua yang sayangkan Islam.
“Pertemuan antara pimpinan utama pasti merungkai banyak kekhilafan. Ahli dan pengikut pasti bergerak mengikut rentak pemimpin. Sebagaimana rentak begitulah tarinya,” katanya.
Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan sebarang usaha pemulihan MN mestilah berpandukan prinsip dan semangat piagam asal sebagaimana dimeterai dan disepakati sebelum ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian bagi menjawab pelbagai spekulasi yang timbul susulan pertemuan beliau dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.
Kenyataan terbaharu Ahmad Zahid itu sekali gus menyaksikan ‘bibit-bibit’ perdamaian antara Umno dan PAS yang memungkinkan usaha menghidupkan semula penyatuan ummah menerusi MN terlaksana pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – Malaysiapost

