Roh, semangat MN perlu dihidupkan semula untuk depani PRU15 – Annuar

0
2
KUALA LUMPUR, 27 Feb -- Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa bercakap ketika sidang media selepas pertemuan khas di ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

ROH dan semangat persefahaman piagam Muafakat Nasional (MN) perlu disemarakkan semula terutama di saat ‘perhitungan besar’ Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hampir tiba, kata Tan Sri Annuar Musa.

Bekas Setiausaha Agung Umno itu, berkata beliau turut bersyukur dengan perkembangan positif yang ditunjukkan antara Umno dan PAS berhubung usaha memperkasa semula MN.

“Syukur Alhamdulillah. Kenyataan Media rasmi Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) membawa sinar dan harapan baru, seharusnya disambut baik oleh semua pihak ,terutama Umno/Barisan Nasional (BN) dan PAS,” katanya menerusi Facebook, malam tadi.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, Umno dan PAS adalah dua parti teras dan tunjang yang membina negara bangsa. yang mana cita-cita perjuangan kedua-dua parti itu lahir daripada ‘rahim dan kandungan’ politik yang sama.

“Permuafakatan antara keduanya mampu memperkasa perjuangan dan menyelamatkan watan dan ummah,” katanya.

Dalam pada itu Annuar berkata, negara amat memerlukan sebuah kerajaan yang kuat, politik stabil, serta saf kepimpinan berpengalaman dan berkebolehan kerana negara bakal berdepan cabaran global yang amat besar mulai tahun depan.

“Negara perlu dipulihkan dan dengan ekonomi dunia dan geo politik serantau yang semakin kompleks, kita tidak mampu berpecah belah dan kembali menjadi lemah.

“Negara dan rakyat perlu dibela sepenuhnya. Inilah masanya,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam kenyataan malam tadi menegaskan, sebarang usaha pemulihan MN mestilah berpandukan prinsip dan semangat piagam asal sebagaimana yang pernah dimeterai dan disepakati sebelum ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian bagi menjawab pelbagai spekulasi yang timbul susulan pertemuan beliau dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

Katanya, pertemuan empat mata pada 17 September lalu berlangsung dengan penuh harmoni berteraskan semangat mahabbah dan ukhuwah persaudaraan Islamiah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here