INSIDEN rusuhan pada perlawanan bola sepak Liga 1 Indonesia di antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang sehingga meragut ratusan nyawa, kelmarin perlu dijadikan iktibar buat semua pihak.
Menteri Beliau dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata insiden itu perlu menjadi teladan dan iktibar bukan sahaja di Indonesia malah, termasuk Malaysia serta lain-lain negara seluruh dunia agar tidak lagi berulang.
“Sukan seharusnya memupuk semangat kebersamaan dan perpaduan bukan sahaja dalam kalangan atlet malah, meliputi setiap daripada kita.
“Marilah kita semua senantiasa mendukung semangat kesukanan yang tinggi demi kemaslahatan
bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengucapkan salam takziah buat seluruh ahli keluarga serta rakan taulan kepada mangsa yang terkorban dalam insiden terbabit dan mendoakan agar mangsa tercedera segera sembuh.
“Sementara itu, saya juga ingin menzahirkan rasa simpati kepada Kerajaan Republik Indonesia di atas insiden yang telah berlaku.
“Mudah-mudahan, segala dugaan yang dihadapi ini dapat ditangani dengan sebaik mungkin.
Pada masa sama, Ahmad Faizal juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk menghulurkan sebarang bentuk bantuan seandainya diperlukan oleh Kerajaan Republik Indonesia khususnya Kementerian Pemuda dan Olahraga bagi menangani situasi yang dihadapi.
“Sesengguhnya, Indonesia bukan sahaja sekadar negara jiran kepada Malaysia tetapi, merupakan sahabat serta saudara serumpun yang akan senantiasa ditemani ketika berdepan detik-detik sukar,” katanya.
Media kelmarin melaporkan, rusuhan penyokong berlaku sebaik perlawanan Liga 1 Indonesia antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang tamat hingga mengakibatkan ratusan nyawa terkorban.
Penyokong kedua-dua kelab berkenaan bertempur selepas Arema tewas 3-2 dalam perlawanan di Malang, Jawa Timur.
Pergaduhan bermula selepas ribuan peminat Arema masuk ke dalam padang susulan kekalahan pasukan mereka hingga mengakibatkan pihak berkuasa melepaskan tembakan gas pemedih mata.
Setakat 10.30 pagi semalam, jumlah mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi itu dilaporkan seramai 174 orang dengan 11 orang lagi masih dalam keadaan kritikal, manakala 298 dikategorikan sebagai pesakit ringan. – Malaysiapost

