Covid-19: 3 kluster baharu, kluster Telaga ditamatkan hari ini

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

TIGA kluster baharu dikesan hari ini iaitu masing-masing di Sabah, Perak dan Terengganu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, Kluster Atap iaitu kluster baharu di Sabah dikenal pasti di Kota Kinabalu pada 4 Oktober lalu selepas mangsa dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

Katanya, saringan kontak rapat mengenalpasti tiga lagi kes positif Covid-19, di mana sehingga tengah hari tadi, sejumlah 49 individu telah disaring.

“Bagi kluster Bah Lada, Perak ia dikenal pasti di daerah Perak Tengah dan Hilir Perak selepas mangsa dikenal pasti positif hasil saringan pulang dari Sabah pada 3 dan 6 Oktober, di mana 41 individu sudah disaring.

“Bagi Kluster Bah Sahabat, Terengganu, ia dikesan di Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

“Kes indeks kluster ini dikenal pasti positif hasil saringan pulang dari Sabah dan setakat ini 88 individu sudah disaring,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Telaga di Kedah diisytiharkan tamat hari ini selepas tamat tempoh pengawasan 28 hari.

“Kluster ini membabitkan 16 warganegara dan tidak melibatkan kes kematian.

Ujian makmal menunjukkan virus kluster ini mempunyai mutasi D614G menyerupai virus Kluster PUI Sivagangga dan Tawar,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 354 kes penularan Covid-19 dilaporkan hari ini, di mana Sabah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu  274 kes, diikuti Selangor (24) dan masing-masing kes di Kedah, Sarawak dan Kuala Lumpur. – Malaysiapost