DATUK Seri Anwar Ibrahim meminta kepimpinan dan wakil rakyat PKR supaya meminta rakyat kekal tenang menjelang majlis mengadap beliau dengan Yang di-Pertuan Agong, Selasa ini.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu dinyatakan Anwar dalam pertemuan menerusi Zoom dengan ahli Majlis Pimpinan Pusat serta wakil rakyat parti tersebut.
Beliau berkata, Anwar juga meminta semua pihak supaya terus mendoakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan negara kita.
Sementara itu, Saifuddin berkata dalam pertemuan itu Anwar juga menekankan beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian untuk PKR terus bergerak ke hadapan, termasuk keperluan meningkatkan usaha berkhidmat kepada rakyat.
Anwar juga, katanya, memberi penekanan kepada jurucakap Parlimen PKR tentang keperluan sentiasa bekerja keras di portfolio masing-masing, tidak kiralah di dalam atau luar Parlimen.
“Mereka tidak boleh berfungsi hanya untuk menyatakan pendirian parti semata-mata, tetapi perlu bertindak sebagai penjaga kepentingan awam mengikut portfolio masing-masing.
“Penting untuk mereka bekerja secara aktif dan sering berinteraksi dengan pihak berkepentingan dalam menghadapi cabaran berkaitan dengan sektor yang berada di bawah portfolio mereka.
“Hanya dengan mendengar rintihan rakyat kita dapat mengenal pasti cara untuk membantu negara kita pulih dan makmur,” katanya.
Beliau berkata, Anwar turut menggesa semua anggota PKR untuk terus berkhidmat dan membantu masyarakat setempat semasa wabak Covid-19.
“Anwar memberi penekanan khusus kepada Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan agar bekerja keras tangani cabaran rakyat di negeri-negeri tersebut akibat Covid-19.
“Walaupun pelbagai SOP berkaitan kesihatan perlu dipatuhi, kita harus tetap membantu rakyat, terutama anggota masyarakat kita yang paling berisiko,” katanya. – Malaysiapost

