Ben Ibrahim
OBJEKTIF utama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) Kuantan menganjurkan pesta makanan dan jualan amal adalah bagi memperbetulkan stigma masyarakat terhadap anak autisme.
Selain bertujuan mengumpul dana kepada persatuan itu, program berkenaan juga dapat mendedahkan kepada pengunjung mengenai kemampuan istimewa dimiliki kanak-kanak autisme yang dilatih Nasom Kuantan.
Penasihatnya, Zuairiyah Mohd Noor berkata setiap kanak-kanak autisme mempunyai kelebihan tersendiri dan terpulang kepada ibu bapa dan penjaga mereka untuk meneroka potensi berkenaan.

“Macam kami di Nasom Kuantan, fokus utama memberi pendidikan asas di samping menyiapkan kanak-kanak ini dengan kemahiran bersesuaian dengan minat mereka.
“Sebab itulah kita menyediakan modul vokasional untuk kanak-kanak autisme di pusat aktiviti kami bagi membekalkan kemahiran tertentu supaya mereka dapat menjana pendapatan sendiri selepas tamat sesi persekolahan,” katanya ketika ditemui pada program pesta makanan dan jualan amal Nasom Kuantan di Taman Gelora, dekat sini, hari ini.
Program itu mendapat kerjasama Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan.
Turut hadir Komandan Pangkalan TUDM Kuantan, Brigedier Jeneral Ahmad Khusairi Ahmad Fadil.
Terdapat lebih 10 gerai jualan disediakan untuk pengunjung membeli makanan dan pakaian sempena program yang bermula jam 9 pagi itu.

Zuairiyah berkata, lebih 100 jenis makanan dijual oleh peserta program selain hasil seni oleh kanak-kanak autisme.
Semua pembelian sepanjang program itu menggunakan kupon disediakan Nasom Kuantan dan sebanyak 4,000 buku kupon sudah berjaya dijual sebelum program hari ini berlangsung.
Pengunjung juga boleh mendapatkan buku kupon di kaunter disediakan di tapak program.
Dalam pada itu, Ahmad Khusairi ketika ditemui berkata, pembabitan TUDM Kuantan dalam program itu adalah sebahagian tanggung jawab sosial korporat (CSR) pasukan terbabit.
Katanya, kira-kira 80 pegawai dan anggota ditugaskan bagi membantu melancarkan penganjuran program terbabit.
“Kita mempunyai hubungan baik dengan Nasom Kuantan kerana di dalam pangkalan TUDM Kuantan pun ada pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) yang menempatkan kanak-kanak autisme.
“Jadi, secara tidak langsung apabila Nasom Kuantan memberitahu rancangan menganjurkan pesta seumpama ini, kami terus bersetuju untuk membantu dan memberi kerjasama,” katanya.
Beliau memaklumkan, ini adalah kali kedua Pangkalan TUDM Kuantan terbabit secara langsung dalam program bersama Nasom Kuantan. – Malaysiapost

