JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor berjaya menyelamatkan seekor harimau kumbang jantan yang tersesat di Taman Semenyih Pelangi, Semenyih, Selangor, semalam.
Menurut Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia, operasi menyelamat itu dijalankan susulan menerima maklumat kehadiran hidupan liar itu daripada pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Semenyih, Selangor.
“Operasi ini telah melibatkan Jabatan Perhilitan Selangor dengan kerjasama Bahagian Ex-Situ Ibu Pejabat Jabatan Perhilitan, BBP Daerah Semenyih serta Balai Polis Daerah Semenyih, Selangor.
“Harimau kumbang terbabit berada dalam keadaan baik dan telah dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak untuk pemantauan selanjutnya,” menurut Perhilitan dalam satu kenyataan hari ini.
Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sepanjang operasi menyelamat itu dijalankan. – Malaysiapost



