KETETAPAN dibuat Umno sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan dengan penilaian dan perancangan rapi bagi sesebuah tindakan yang vital seperti Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Justeru Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan segala dakyah, tohmahan dan propaganda musuh Umno untuk menidakkan pentingnya PRU15 diadakan tahun ini, hanyalah alasan dan penciptaan persepsi berterusan bagi mengelak terpaksa berdepan penentuan kuasa rakyat.
Ini kerana katanya, hampir lima tahun sejak PRU14 lalu, negara berdepan ketidakstabilan yang meruntuhkan segenap aspek dan kebaikannya, maka PRU15 peluang terbaik untuk memulihkannya.
Sehubungan itu beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyatakan empat sebab mengapa PRU15 perlu diadakan tahun ini, bukannya pada tahun depan.
“PRU15 amat mustahak dilangsungkan sekarang untuk memastikan kerajaan lebih stabil, kukuh dan efisien dibentuk bagi membantu rakyat keseluruhan.
“PRU15 amat mustahak diadakan bagi memastikan pembentukan sebuah kerajaan yang berdaya untuk membentengi negara daripada impak kemelesatan ekonomi dunia yang diramalkan tahun depan.
“PRU15 amat mustahak memastikan Kerajaan Persekutuan yang mentadbir negara tidak berdepan tindakan sabotaj oleh musuh dalam selimut yang sentiasa berkepentingan politik.
“PRU15 amat mustahak untuk memastikan usaha pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat dapat berjalan lancar dan teratur secepat mungkin,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata keputusan mengadakan PRU segera dibuat hasil muafakat, kebersamaan dan perpaduan pimpinan Umno.
Berikutan itu katanya, kini tiba masa jentera Umno di seluruh negara bergerak lebih pantas, kemas dan tersusun bagi memenuhi aspirasi rakyat mengembalikan kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan Malaysia.
“Usah perlu menoleh lagi dan terus mara, kerana masa tidak akan menunggu waima seminit mahupun sesaat amat berharga untuk memastikan negara kembali ke landasan sebenar,” katanya.

