Saringan kesihatan percuma di klinik bergerak PICOMS di Masjid Wilayah

0
2
Saringan kesihatan percuma di klinik bergerak PICOMS di Masjid Wilayah Naib Canselornya, Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman (dua kiri) dan Imam Besar Masjid Wilayah, Muhyidin Aziz bersama KOLEJ Universiti Antarabangsa Picoms (PICOMS) menawarkan perkhidmatan klinik bergerak dengan saringan kesihatan percuma kepada jemaah dan pelawat Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setiap Jumaat.

KOLEJ Universiti Antarabangsa Picoms (PICOMS) menawarkan perkhidmatan klinik bergerak dengan saringan kesihatan percuma kepada jemaah dan pelawat Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setiap Jumaat.

Naib Canselornya, Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman, berkata program mengimarahkan masjid itu dijalankan pada 18 September lalu, di mana lebih 100 pengunjung masjid khususnya mereka yang menunaikan solat Jumaat menggunakan perkhidmatan secara mobil berkenaan.

Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa Picoms, Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman

“Perkhidmatan saringan adalah percuma seperti pemeriksaan tekanan darah, ujian darah, dan ujian kolestrol.

“Kita turut menawarkan perkhidmatan fisioterapi dan rehabilitasi seperti rawatan strok, sakit belakang, sakit lutut dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Malaysiapost hari ini.

Beliau memaklumkan Masjid Wilayah adalah lokasi pertama program sedemikian dan pihaknya bercadang meluaskan perkhidmatan itu ke masjid lain sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, mereka yang berminat boleh mendapatkan perkhidmatan pada jam 11 pagi sehingga 4 petang di Anjung B.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Wilayah, Muhyidin Aziz, berkata kolaborasi bersama PICOMS itu adalah antara program yang disusun bagi mengimarahkan masjid berkenaan.

“Klinik bergerak PICOMS ini antara pelengkap kepada program mengimarahkan masjid. Selain kita juga terbabit dengan kolaborasi dengan beberapa universiti lagi.

“Sebelum ini kita mempunyai pelbagai program keilmuan, namun sejak kebelakangan ini kes Covid-19 kembali meningkat menyebabkan kita mengehadkan aktiviti selain memperketatkan SOP (prosedur operasi standard),” katanya.

Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Muhyidin Aziz

Beliau turut memaklumkan program bantuan keperluan asas yang dijalankan sebelum pandemik sudah berubah, di mana pihaknya sendiri menghantar bantuan bagi mengelak orang ramai berkumpul di masjid. – Malaysiapost