Saintis UM temui fosil gajah purba

0
1

FOSIL gajah purba Stegodon pertama di Malaysia ditemui sekumpulan saintis Universiti Malaya (UM) di dalam gua batu kapur di Gopeng, Perak.

Anggaran kasar usia geologi fosil tersebut di antara antara 80,000 hingga 30,000 tahun.

Ketua penyelidik projek, Dr Ros Fatihah Muhammad, berkata penemuan itu amat penting dalam kajian berkaitan sejarah migrasi haiwan kuno dan perubahan alam sekitar di rantau Asia Tenggara.

Katanya, spesies itu berbeza dengan gajah moden Asia (Elephas maximus) yang masih wujud di negara ini dari segi morfologi, ekologi dan taksonomi, selain tiada penemuan fosil Stegodon di Malaysia, sehingga kini.

“Justeru, perkara ini amat penting dari segi biogeografi dengan implikasi terhadap pembinaan semula pemahaman berkenaan sejarah laluan migrasi biota (flora dan fauna sesuatu kawasan) zaman Pleistosen, termasuk manusia,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, penemuan itu hasil susulan maklumat kumpulan peneroka gua, Kinta Valley Watch serta tinjauan dan kajian mereka.

“Kajian setakat ini menunjukkan tinggalan hidupan ini tidak berasosiasi dengan manusia purba.

“Bagaimanapun amat penting dalam kajian berkaitan sejarah migrasi fauna kuno dan perubahan alam sekitar di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, gajah purba itu mungkin mati pada usia kurang dua tahun, susulan hasil proses pengimejan dilakukan pakar gigi dari Fakulti Pergigian UM, Prof Madya Dr Norliza Ibrahim dan Dr Mohd Azmi Abdul Razak.

Selain itu, beliau berharap kerajaan negeri mewartakan kawasan penemuan itu supaya dilindungi daripada pencerobohan dan boleh dicadangkan sebagai geotapak baharu, Geopark Lembah Kinta.

“Terdapat bukti di lokasi penemuan Stegodon dan tapak paleontologi lain, menunjukkan tinggalan haiwan telah pupus pernah wujud di Semenanjung seperti orang utan, badak sumbu Sumatera, badak raya Java, beruang hitam Asia dan satu spesies tikus kuno.

“Kesedaran awam mengenai kepentingan memelihara bukit batu kapur daripada ancaman kuari sebagai contoh, penemuan fosil dari gua kars ini sebab kukuh bagi pemeliharaan berterusan,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Kosmo