PEMILIK pasukan Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menegaskan pihaknya kini berusaha mendapatkan semula tiga mata yang dipotong sebelum ini.
Ia susulan isu tunggakan gaji yang dihadapi sebelum Zamsaham mengambil alih, di mana pasukan itu dihukum pada Ogos lalu.
Kelantan dikenakan pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Perdana musim 2020 atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan bagi kes yang telah diputuskan Jawatankuasa Status FAM sebelum ini.
Zamsaham menyatakan beliau meminta pandangan Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John dalam usaha mendapatkan kembali tiga mata tersebut.
“Saya sudah sampaikan hajat penyokong dan harap-harap AFC dapat merayu kepada FIFA. Beliau akan membantu dengan menjelaskan AFC akan mengenai sejarah kes seperti ini,” katanya dipetik Stadium Astro.
Sejak berada di bawah naungan Zamsaham, Kelantan berjaya menyelesaikan beberapa tunggakan gaji bekas pemain serta pegawai pasukan, selain membayar tunggakan gaji bagi pemain yang beraksi bersama skuad The Red Warriors musim ini.
Kelantan kini berada di kedudukan ketujuh liga dengan 12 mata. Sekiranya tiga mata itu dikembalikan ia mencerahkan peluang layak ke saingan Piala Malaysia. – Malaysiapost

