Hishammuddin perlu jawab persoalan skandal LCS – Rafizi Ramli

0
2

MENTERI Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein digesa menjelaskan kepada rakyat beberapa persoalan penting mengenai projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang sehingga kini menjadi tanda tanya.

Gesaan itu dibuat Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang menurutnya ia penting kerana kelewatan projek LCS sekarang sudah pun meletakkan tentera negara di belakang negara-negara serantau.

Menurutnya, antara persoalan yang perlu dijelaskan adalah berapa jumlah sebenar kapal LCS yang dibina di bawah kontrak dengan Boustead Naval Shipyard (BNS) yang akan disiapkan dan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Berapa kos keseluruhan sebenar yang akan dibelanjakan oleh kerajaan untuk menyiapkan sejumlah kapal LCS itu?

“Apakah jadual penyerahan sebenar kapal-kapal ini kepada TLDM?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, sehingga kini, rakyat Malaysia masih terkeliru dengan jawapan yang bercanggah mengenai kemajuan projek LCS dan kos yang akan ditanggung rakyat.

Beliau mendakwa, Hishamuddin memberi jawapan yang berbeza dari Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

“Laporan-laporan media memetik Hishamuddin menyatakan bahawa kapal LCS pertama akan mula beroperasi dalam “satu atau dua tahun” dari sekarang (seperti jawapannya di Dewan Negara pada 8 Ogos 2022). Ini bermakna penyerahan kapal LCS pertama dijangka dalam 2023 atau 2024.

“Kenyataan ini bercanggah dengan tarikh penyerahan seperti yang dinyatakan Panglima Angkatan Tentera, dalam satu temu ramah pada 13 September 2022 bersempena Hari Angkatan Tentera.

“Menurut beliau, jadual penyerahan kapal LCS adalah seperti berikut: Kapal pertama (Januari 2026), kapal kedua (September 2026), kapal ketiga (Mei 2027), kapal keempat (Januari 2028) dan kapal kelima (September 2028),” katanya.

Beliau berkata, maklumat-maklumat yang bercanggah di antara Menteri Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menimbulkan beberapa persoalan besar yang belum dijawab oleh Hishamuddin.

Selain itu, Rafizi menegaskan adalah tidak masuk akal meneruskan kontrak dengan BNS yang menggunakan spesifikasi 10 tahun lalu pada kos berkali ganda kerana akan meminggirkan keupayaan pertahanan negara berbanding negara serantau.

“Sebab itu, skandal LCS yang berlaku sewajarnya meletakkan tumpuan negara kepada persoalan peruntukan berbilion ringgit yang dibazirkan akibat penyelewengan sedangkan keupayaan pertahanan negara terus menjadi usang.

“Oleh itu, saya menyeru supaya Hishamuddin berterus terang mengenai jumlah sebenar yang akan dibelanjakan di bawah kontrak sedia ada dengan BNS dan berapa kapal sebenarnya yang akan siap dan diserahkan kepada TLDM.

“Jawapannya kelak akan membuka perdebatan baru mengenai sejauh mana armada TLDM kita ketinggalan berbanding dengan negara serantau,” katanya.

Sementara itu, Rafizi turut menegaskan pihaknya akan terus menyiasat dan mendalami skandal LCS, walaupun Umno, Bersatu dan Pas berharap isu berkenaan akan senyap begitu sahaja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here