Majikan wajib tunggu ketibaan pekerja asing baharu di KLIA

0
2

PERATURAN Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang memberi tempoh enam jam kepada majikan untuk datang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menerima pekerja asing yang baru tiba adalah untuk memastikan pekerja berkenaan mempunyai majikan yang sah.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, menegaskan majikan diwajibkan menunggu ketibaan pekerja-pekerja asing baharu mereka di KLIA.

Menurutnya, majikan berkenaan bertanggungjawab menguruskan dokumentasi serta membuat pengesahan bahawa mereka adalah majikan kepada pekerja-pekerja berkenaan.

“Peraturan JIM memberi tempoh selama enam jam kepada majikan untuk datang ke KLIA dan menerima pekerja-pekerja asing mereka.

“Dalam keadaan tertentu, tempoh ini akan dilanjutkan. Pekerja-pekerja asing berkenaan tidak akan dilepaskan keluar sehingga majikan sebenar sepertimana dalam permohonan tiba di KLIA untuk menerima mereka.

“Kegagalan majikan mematuhi peraturan ini akan menyebabkan pekerja asing berkenaan diberikan notis ‘Not to Land’ (NTL) dan akan diarah pulang dengan penerbangan berikutnya ke negara asal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai hantaran di laman Facebook oleh seorang blogger yang membuat dakwaan tidak berasas berkaitan pengurusan masuk pekerja-pekerja asing di KLIA.

Individu berkenaan mempersoalkan tindakan menghantar balik pekerja asing yang tidak diambil selepas enam jam tiba di KLIA, dan kononnya JIM tidak mahu mengambil tanggungjawab sekiranya berlaku kelewatan.

Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, sejak pembukaan semula sempadan negara JIM telah menguruskan kemasukan pekerja asing baharu berjumlah 98,079 mulai 1 April sehingga 26 September 2022.

“Jabatan ini berasa kesal dengan tuduhan yang tidak berasas oleh blogger berkenaan yang boleh menimbulkan salah faham dikalangan Keluarga Malaysia. JIM sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here