DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan tidak mendengar nasihat daripada Majlis Pemulihan Negara (MPN)
Presiden Umno itu berkata, Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak patut menyalahkan Perdana Menteri sekiranya cadangan MPN ditolak dan tidak diterima pakai oleh kerajaan.
“Sekali lagi Mahiaddin mengadu mengenai keberkesanan MPN yang dipimpin beliau. Kali ini beliau menyalahkan kerajaan Persekutuan, Kabinet dan Perdana Menteri kerana hanya menjalankan 16 daripada 69 cadangan daripada MPN.
“Adat memberi cadangan, jika diterima kita bersyukur dan jika tidak, mungkin ada cadangan yang lebih baik.
“Maka, Mahiaddin tidak perlu berkeluh kesah seakan kerajaan telah menidakkan peranan MPN atau MPN telah gagal,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid menegaskan, sebenarnya kerajaan tidak memerlukan MPN dan patut dimansuhkan kerana fungsinya bertindih dengan kementerian yang wujud dalam Kabinet.
“Dengan kerajaan yang telah melaksanakan 16 daripada 69 cadangan majlis itu sendiri menunjukkan kerajaan masih mengambil serius pandangan majlis meskipun kewujudannya tidak jelas, tidak perlu dan bertindih.
“Seperti saya katakan sebelum ini, MPN perlu dibubar kerana fungsinya tidak jelas, tidak perlu, malah bertindih dengan fungsi badan pemikir dan agensi-agensi kerajaan lain yang bertindak sebagai penasihat serta pelaksana.
“Menteri Kabinet pula sentiasa menyelaras fungsi agensi dan membawa sebarang dasar dicadangkan di peringkat kementerian untuk dipertimbangkan Kabinet sebelum dilaksanakan. Itu sahaja sudah mencukupi untuk kerajaan berfungsi dan berjalan dengan baik,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menambah, pelantikan pengerusi MPN yang bukan seorang Perdana Menteri telah menunjukkan peranan MPN itu lemah dan kurang efisien.
“Meskipun MPN dianggotai pakar-pakar dan subject matter experts, namun keberadaan Pengerusi MPN yang bukan Ketua Eksekutif menjadikan sebab pelaksanaan cadangan majlis itu kurang political will dan mungkin juga dilihat tidak perlu,” katanya.
Sebaliknya, Ahmad Zahid membidas MPN yang digunakan Muhyiddin sebagai platform mempromosi propaganda politiknya seperti terjadi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
“Pengerusi MPN pula menggunakan majlis itu sebagai platform untuk mengabsahkan propaganda politiknya. Sering sahaja di kempen politik PRN Melaka dan PRN Johor.
“Pengerusi MPN menggunakan cadangan-cadangan majlis sebagai peluru politik dalam kempennya dengan menggambarkan seakan kerajaan akan gagal jika cadangan majlis tidak dilaksanakan.
“Sedangkan rakyat Malaysia tahu, MPN hanya menasihat dan memberikan cadangan kepada Kerajaan,” katanya.
Justeru, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, Malaysia memerlukan kestabilan politik sebagai ramuan utama sebelum pelbagai bentuk polisi yang bermakna dapat dibentuk.
“InsyaAllah dengan kemenangan majoriti BN/Umno kelak, MPN atau majlis seakan MPN tidak lagi diperlukan dan sinergi tersusun antara kerajaan, sektor swasta dan ahli-ahli akademik serta NGO akan terus dirintis bagi membangunkan Malaysia tercinta,” katanya. – Malaysiapost

