Mustahil lenyapkan aura ‘Bossku’, kata Zahid

0
2

KEGEMBIRAAN pihak musuh ‘meraikan’ pemenjaraan Datuk Seri Najib Razak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menamatkan aura ‘Bosku’ dan melemahkan Barisan Nasional (BN), disifatkan tidak kesampaian.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata meskipun Najib tidak berada bersama berjuang namun semangat ‘Bossku’ yang dibawa beliau masih tersemat di hati masyarakat malah mereka juga mula menyedari akan kebenaran makna ‘Bossku’ itu.

“Musuh BN gembira dan ‘meraikan’ Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan sebelum PRU15, tetapi kegembiraan mereka tidak bertahan lama.

“Mereka meramalkan pemenjaraan Najib Razak akan menamatkan aura ‘Bossku’ sekali gus melemahkan BN, tetapi sebaliknya yang berlaku.

“BN terus mara. Jasa dan budi ‘Bossku’ tetap tersemat rapi dalam sanubari anggota masyarakat yang mula mengetahui kebenaran di sebalik kebenaran.

“Sekali gus melonjakkan lagi keyakinan dan kepercayaan majoriti rakyat untuk memberi kemenangan besar kepada BN dalam PRU15 akan datang,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, pembangkang berharap nama Najib berjaya ‘dibunuh’ selepas dipenjarakan, namun aura ‘Bossku’ masih jadi sebutan rakyat hingga hari ini.

“Justeru, menyebabkan lawan BN jadi seriau dan meneruskan misi pembunuhan karakter ‘Bossku’ walaupun Najib kini berada dalam tahanan.

“Sebab itu kita perlu mengerti tentang maksud ‘character assassination’ bagi memahami isu kod ‘merpati’ yang sedang dimainkan pembangkang.

“‘Character assassination’ atau pembunuhan karakter yang menjadi senjata politik musuh BN bertujuan ‘membunuh’ nama baik seteru politik mereka,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau percaya dan yakin bahawa niat jahat lawan BN itu tidak akan berhasil kerana mereka terlepas pandang perkara pokok tentang ‘Bossku’.

“Seperti pernah dijelaskan Najib makna sebenar slogan ‘Bossku’ adalah rakyat. ‘Bossku’ yang sebenar di sebalik istilah itu adalah rakyat.

“Justeru, adalah mustahil untuk lawan BN melenyapkan aura ‘Bossku’ yang sebenarnya merupakan rakyat Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid turut memetik kata dari Najib :”Bila kata ‘bossku’ pada saya, saya ingatkan diri saya bos adalah rakyat. Bila kata bossku bukan bererti bos sebenar. Rakyat jadi bos kita.” – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here