Rafizi mohon rakyat tanda tangan petisyen bantah PRU15 musim banjir

0
1

TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat tekanan hebat daripada Umno untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secepat mungkin.

Beliau berkata, jika Parlimen dibubarkan dalam masa sebulan dari sekarang, PRU15 akan diadakan semasa musim banjir.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Malaysia menandatangani petisyen sebagai salah satu usaha membantah PRU15 diadakan semasa musim banjir.

“Bantu saya bawa suara anda kepada ahli-ahli politik. Tandatangan petisyen ini dan sebarkan kepada seramai mungkin melalui semua saluran.

“Saya hanyalah seorang rakyat. Dengan bantuan ratusan ribu suara rakyat yang lain, suara kita bersama akan didengari oleh ahli politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, berdasarkan laporan kaji cuaca meramalkan bencana banjir yang lebih teruk akan berlaku pada tahun ini.

Katanya, meskipun musim tengkujuh belum tiba, kejadian banjir kilat terus berlaku di tempat-tempat yang sebelum ini tidak mengalami bencana banjir yang teruk.

Tambah Rafizi, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendabik dada bahawa Umno meredah banjir demi PRU15 yang lebih awal.

“Semua parti politik akan bersedia secukupnya apabila PRU15 dipanggil. Isunya bukanlah soal parti-parti politik gah berkempen walaupun menghadapi banjir.

“Isu pokok ialah semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk menghadapi banjir dan semua perkara yang boleh ditangguhkan atau dielakkan, wajarlah ditangguhkan dahulu,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata sekiranya PRU15 diadakan semasa banjir bermakna lebih RM1 bilion akan digunakan untuk menguruskan pilihan raya sedangkan dana rakyat itu lebih baik disalurkan kepada usaha menangani bencana.

Selain itu, katanya, beratus ribu penjawat awam perlu bertugas untuk mengendalikan pilihan raya sedangkan mereka wajar bersama-sama sukarelawan membantu mangsa banjir.

“Hanya suara rakyat yang dapat menghantar isyarat yang jelas bahawa rakyat mahu ahli politik menumpukan perhatian menghadapi bencana banjir, bukannya mengejar jawatan-jawatan politik melalui pilihanraya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here