Warga PDRM bertugas PRU-15 perlu fahami akta berkaitan pilihan raya – KPN

0
3

KETUA Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, mengingatkan semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan bertugas ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan datang agar menjalankan tugas dengan professional.

Menurutnya, ia demi mengelakkan sebarang implikasi yang mampu mencalar kredibiliti pasukan dan kewibawaan kerajaan.

“Sepertimana semua sedia maklum perkhabaran mengenai PRU-15 bakal diadakan pada tarikh yang dikatakan semakin hampir.

“Maka saya menyandarkan harapan yang tinggi kepada semua pegawai pemerintah dan semua petugas PRU-15 agar sentiasa mengambil cakna dan memahami akan tanggungjawab masing-masing.

“Serta melengkapkan diri dengan pengetahuan yang menyeluruh mengenai bidang kuasa yang telah diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan lain-lain akta yang berkaitan dalam kita melaksanakan tugas-tugas sebagai Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa pilihan raya umum kelak,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara  di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Menurutnya, satu arahan bertarikh 14 September lalu telah dikeluarkan mengenai usaha-usaha memantapkan amalan kesantunan berbahasa dalam penyampaian perkhidmatan PDRM yang perlu diberikan perhatian.

Beliau berkata, pegawai polis perlu bijak untuk mengawal emosi, menjaga tutur kata dan mengekalkan tahap professional yang tinggi sepanjang melaksanakan tugas terutamanya apabila berhadapan situasi bersifat provokasi.

“Kita juga perlu telus dalam menangani isu-isu yang melibatkan mana-mana parti politik agar pasukan ini dilihat sebagai sebuah institusi kepolisan yang profesional.

“Saya juga telah melantik Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Hazani Ghazali sebagai Pengarah Operasi PDRM sempena PRU-15 akan datang

“Sehubungan itu bersarlah harapan saya semua jabatan termasuk elemen-elemen di bawah KDNKA selaku jabatan pengoperasian dengan aset dan keanggotaan terbesar menjalankan tugas menjaga keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam khususnya ketika berhadapan PRU-15 kelak,” katanya.

Acryl berkata, PDRM juga akan menggunakan secara optimum jentera pasukan dengan perancangan yang sistematik bagi memastikan situasi pilihan raya umum (PRU) aman dan dalam masa sama tugas hakiki mengekalkan keselamatan dan keaman negara kekal berjalan dengan baik. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here