Hospital Tanjong Karang mula beroperasi 10 Oktober ini

0
4

KOMPLEKS baharu Hospital Tanjong Karang yang bakal memberi manfaat kepada 350,000 penduduk sekitar akan mula beroperasi pada 10 Oktober ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata kompleks baharu itu sekali gus menaiktaraf status Hospital Daerah ke Hospital Pakar Minor dengan menyediakan 10 bidang kepakaran.

“Ini bermakna kira-kira 3,000 kes rujukan pesakit melibatkan penghantaran ke hospital pakar lain sebelum ini, boleh dijalankan di Hospital Tanjong Karang dengan penjimatan kira-kira RM1.5 juta,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Khairy hadir bersama Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar ke Majlis Penyerahan Kompleks Baharu Hospital Tanjong Karang, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy juga mengumumkan perolehan sebuah unit mesin CT Scan bagi menampung kira-kira 1,200 kes rujukan pesakit dalam dan pesakit luar di kawasan tersebut.

“Sesuai dengan status baharu sebagai Hospital Pakar Minor, Hospital Tanjong Karang akan dilengkapi dengan dua dewan bedah dan wad ICU selain kemudahan wifi percuma.

“Bakal memulakan operasi pada 10 Oktober ini, perkhidmatan Hospital Tanjong Karang akan memberi manfaat kepada kira-kira 350,000 masyarakat setempat dan penduduk sekitar untuk mendapatkan rawatan kesihatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here