Insya-Allah semuanya akan ok nanti, luah Shuib

0
2

NAMA Shuib Sepahtu dan isteri, Siti Sarah menjadi perhatian kebelakangan ini selepas dipanggil membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan sindiket pengubahan wang haram.

Sejak kelmarin pula, heboh di media sosial apabila ada antara kenderaan mewah yang dirampas SPRM berkaitan kes tersebut didakwa milik Shuib.

Perkara itu dibuktikan netizen dengan menyertakan tangkap layar gambar kereta yang pernah dimuat naik di Instagram pelawak terbabit.

Selain Ford Ranger hitam, netizen turut mendakwa sebuah lagi kereta mewah jenama Porsche putih yang turut disita SPRM, adalah kereta sama pernah ‘ditayang’ Shuib di laman sosialnya.

Hari ini, Shuib menerusi Instagramnya seakan-akan meluahkan rasa sambil cuba menenangkan Siti Sarah.

“Sabar ye sayang… Insya-Allah semuanya akan ok nanti,” tulisnya.

Shuib turut memuat naik gambar bersama Siti Sarah dipercayai ketika mereka menunaikan ibadat umrah suatu ketika dulu.

https://www.instagram.com/p/CGGinOqs26L/?igshid=s4asqrhhf5mz

Tidak pasti sama ada luahan itu ada kaitan dengan dugaan yang sedang dihadapi mereka.

Baru-baru ini, SPRM merampas wang tunai sebanyak RM5 juta dan menyita 23 kenderaan mewah dalam siasatan pengubahan wang haram dan sindiket Macau Scam sejak beberapa hari lalu.

Beberapa individu termasuk dua bergelar Datuk Seri dan Datuk ditahan.

Difahamkan, mereka menggunakan populariti artis untuk menjalankan kegiatan ‘mencuci’ duit haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah. – Malaysiapost