Parti Cinta Sabah tak tanding PRK Batu Sapi

0
3

PARTI Cinta Sabah (PCS) menjadi parti tempatan pertama di Sabah mengumumkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.

Setiausaha Agungnya Ansari Abdullah, berkata keputusan dibuat selepas mengambil kira kepentingan nyawa dan keselamatan rakyat susulan peningkatan kes Covid-19 di Sabah kebelakangan ini.

Katanya, Sabah tidak mampu dan tidak berupaya lagi untuk menanggung penularan kes baharu Covid-19 jika proses kempen dan pengundian PRK Parlimen Batu Sapi dilaksanakan.

“Kami berdoa supaya Sabah dan rakyatnya dilindungi daripada gejala virus Covid-19. Pada kami, nyawa dan keselamatan rakyat mengatasi segala pertimbangan politik.

“Sabah sedang dilanda jangkitan Covid-19 yang amat teruk dan jelas prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini telah gagal membendung penularan virus tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PRK bagi Parlimen Batu Sapi perlu diadakan mengikut Perlembagaan Malaysia susulan kematian penyandangnya dari Parti Warisan Sabah, Datuk Liew Vui Kong, 2 Oktober lalu.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN tidak akan bertanding pada PRK itu bagi mengelak penularan Covid-19. – Malaysiapost