“Beranilah kerana benar” – Ahmad Zahid

0
3

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan pimpinan Umno yang berdepan dengan pelbagai tekanan sewaktu lawan politik berkuasa, tidak pernah takut berdepan sebarang tindakan kerana berada di pihak yang benar.

Presiden Umno itu berkata, ia terbukti apabila mahkamah membebaskan dan melepaskan beliau daripada 40 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya hari ini.

“Syukur ke hadrat Ilahi di atas keputusan mahkamah membebaskan dan melepaskan saya daripada 40 pertuduhan yang dikenakan terhadap saya semasa kerajaan 22 bulan berkuasa.

“Seperti sering saya nyatakan diri ini amat yakin akan dibebaskan daripada pertuduhan yang sengaja diada-adakan sekiranya mendapat sebuah perbicaraan yang adil.

“Seperti juga saya selalu nyatakan pimpinan Umno yang berdepan dengan pelbagai tekanan sewaktu lawan politik berkuasa tidak pernah takut berdepan sebarang tindakan kerana beranilah kerana benar,” katanya di Facebook.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata pemimpin Umno tidak pernah lari sebaliknya berjuang untuk membersihkan nama kerana percaya kebenaran akan terserlah jua sekiranya perbicaraan dapat dilangsungkan secara telus dan saksama.

“Terima kasih pasukan guaman bertungkus lumus dan tidak pernah berputus asa mendapatkan keadilan buat diri saya. Terima kasih juga semua yang mendoakan sepanjang perbicaraan ini.

“Insya-Allah keputusan mahkamah ini akan menjadi penguat semangat untuk saya terus memperjuangkan segenap kebenaran yang perlu diangkat walau apa cabaran mendatang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here