Kerajaan wajar tawar moratorium kepada penduduk di kawasan PKPD, PKPB

0
4

Nilam Oshman

KERAJAAN wajar menawarkan lanjutan moratorium kepada rakyat yang terkesan di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ini khususnya kepada penduduk Sabah yang beberapa daerah dikategorikan zon merah selain larangan rentas daerah, begitu juga Mukim Klang yang dilaksanakan PKPB serta beberapa kawasan di Kedah sebelum ini.

Pensyarah Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizzuddin Nooh berkata, walaupun sekatan tersebut kemungkinan hanya bagi tempoh dua minggu, rakyat di kawasan terjejas pasti terkesan termasuk hilang sumber pendapatan.

“Walaupun sekatan mungkin hanya dua minggu, tapi mungkin akan dilanjutkan, jadi untuk melindungi pendudyk di kawasan PKPD ini, perlulah ditawarkan moratorium, lagi bagus sampai hujung tahun ini.

“Sebab kita tengoklah kawasan seperti Klang, ia kawasan industri manakala di Sabah lebih kepada kawasan luar bandar, memang akan terjejas teruk.

“Jadi bukan setakat dua minggu ini, panjangkan hingga hujung tahun. Walau kita nampak kesan dua minggu, namun bila tak kerja dalam tempoh itu, gaji kita dapat berapa saja,” katanya kepada Malaysiapost.

Tambahnya, adalah lebih baik jika kerajaan menawarkan moratorium sehingga hujung tahun ini kepada semua rakyat supaya meringankan sedikit beban, terutama ketika penularan meningkat semula ketika ini.

PKPD bersasar pentadbiran dilaksanakan di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna bermula 29 Oktober hingga 12 Oktober ini melibatkan 962,661 penduduk.

Pada masa sama, kerajaan menetapkan larangan rentas daerah di seluruh Sabah berikutan peningkatan kes Covid-19.

Sebanyak 36 lokasi di dalam Mukim Klang di Selangor pula dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa hari ini sehingga 23 Oktober. – Malaysiapost