Pelantikan PAS sebagai Adun Sabah, buka ruang kritikan – Presiden STAR

0
4

DATUK Dr Jeffrey Kitingan menyifatkan pelantikan Setiausaha PAS Sabah, Datuk Aliakbar Gulasan antara seorang daripada enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dianggap membuka ruang kritikan pihak pembangkang.

Presiden Parti Solidariti Rakyat Star itu berkata, kenyataannya itu sama sekali tidak bermaksud membelakangi keputusan yang telah dibuat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor atau bersifat serangan peribadi terhadap Aliakbar.

“Pada pelantikan hari ini Setiausaha Pas Sabah Aliakbar Gulasan menjadi salah seorang daripada enam Adun yang dilantik dan STAR melihat ini akan membuka ruang kritikan dan ejekan kepada kerajaan negeri oleh pihak lawan.

“Pernyataan ini bagaimanapun tidak boleh ditafsirkan sebagai serangan terhadap keperibadian Aliakbar dan saya ingin menekankan bahawa pelantikan Adun dilantik adalah hak utama Ketua Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Jeffrey menegaskan ketidakpekaan ahli PAS dalam membuat kenyataan sebelum ini telah membuatkan ramai rakyat beragama Kristian di negeri itu tersinggung.

“Saya menyedari bahawa dia (Aliakbar) secara terbuka tidak bersetuju dengan kenyataan pemimpin PAS baru-baru ini yang sangat menyinggung perasaan orang Kristian di Sabah dan Sarawak.

“Pemimpin PAS berkali-kali mengeluarkan kenyataan yang mengecewakan perasaan dan sentimen Sabah yang berbilang bangsa dan agama.

“Rakyat Sabah tidak memerlukan parti politik untuk mengajar mereka mengenai perpaduan antara agama,” katanya.

Tambahnya, beliau berharap agar ahli parti itu dan rakyat Sabah khususnya tidak termakan dengan sentimen-sentimen yang bakal melemahkan semangat perpaduan di negeri itu.

“Oleh itu, saya menggesa semua ahli STAR dan masyarakat untuk tetap tenang dan tidak menyerah pada ejekan dan penghinaan yang dilemparkan oleh pihak lawan.

“Bermain politik sepanjang masa tidak akan membawa kita ke mana-mana,” katanya. – Malaysiapost