Demonstrasi bantah undang-undang tenaga kerja

0
3

DEMONSTRASI dilakukan oleh golongan mahasiswa dan Persatuan Buruh Indonesia
di beberapa wilayah termasuk di kota Jakarta hari ini, membantah undang-undang berkaitan tenaga kerja.

Demonstrasi berkenaan adalah bagi membantah Undang-Undang Omnibus Law Cipta Kerja yang diluluskan Parlimen Indonesia pada 5 Oktober lalu.

Undang-undang berkaitan tenaga kerja itu didakwa mengabaikan hak pekerja, antaranya pengurangan kos pampasan terhadap pekerja yang diberhentikan, pengurangan cuti tahunan, pembatalan peraturan gaji minima dan pindaan berkaitan peraturan pekerja kontrak.

Menurut media tempatan, demonstrasi secara aman itu bertukar menjadi kecoh selepas cuba disuraikan pihak polis.

Di Jakarta, beribu penunjuk perasaan itu mengadakan perhimpunan di hadapan Istana Negara, di kawasan Bundaran HE dan kawasan Medan Merdeka bertukar menjadi rusuhan selepas polis bertindak meleraikan perhimpunan itu dengan gas pemedih mata dan semburan air.

Penunjuk perasaan bertindak membakar pondok polis, merosakkan harta benda awam dan bertindak membaling objek batu serta ‘molotov coctail’ kepada anggota polis.

Ketua Hubungan Masyarakat Polis Metrojaya (Polis Jakarta), Yusri Yunus berkata sehingga 7 malam ini, hampir 1,000 ditahan kerana mencetuskan rusuhan dan merosakkan harta benda awam, dan keadaan di beberapa kawasan yang berlaku perhimpunan dan rusuhan itu, telah disuraikan sepenuhnya.

“Mereka yang ditahan ini bukannya mahasiswa atau golongan pekerja tetapi mereka yang mengganggur dan turut serta dalam demonstrasi itu serta kemudiannya sengaja mewujudkan kekacauan,” katanya.

Ramai pihak bimbang siri demonstrasi itu akan mencetuskan kluster baru pandemik Covid-19, ketika Indonesia masih mencatatkan peningkatan tinggi kes positif virus itu.

Setakat data semalam yang disiarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) dalam laman twitter rasminya @BNPB_Indonesia, kes positif keseluruhan di republik itu telah meningkat kepada 315,714 kes, manakala jumlah kematian keseluruhan berjumlah 11,472 orang. – Malaysiapost

Gambar kredit : Reuters