Belanjawan 2023: Fokus sistem saraan perkhidmatan awam baharu – CUEPACS

0
3
Presiden CUEPECS, Adnan Mat. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

CUEPACS memohon pertimbangan kerajaan untuk memberi fokus bagi melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentang pada 7 Oktober ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata pelaksanaan SSPA juga bagi memperkasakan sistem perkhidmatan awam negara selaras dengan keperluan semasa.

Katanya, lermintaan itu selaras komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam pada 30 Ogos lalu untuk menyegerakan kajian ke atas SSPA supaya ia boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.

“SSPA baharu perlu dilaksanakan segera dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan melibatkan saraan dan perkhidmatan agar kekal relevan dengan keperluan semasa penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan berkata, pelaksanaan SSPA perlu merangkumi aspek gaji minimum yang baharu sesuai dengan peningkatan kos sara hidup semasa serta keperluan latihan dan pembangunan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

Katanya, kedua-dua perkara tersebut perlu selari bagi memastikan penjawat awam dapat menyampaikan sistem perkhidmatan awam dengan lebih berkesan kepada rakyat yang sentiasa dahagakan perkhidmatan terbaik.

“Ketika ini sektor swasta telah melaksanakan gaji minimum RM1,500 berkuatkuasa 1 Mei lalu dan ia wajar diikuti sektor awam bagi mengimbangi keperluan semasa penjawat awam.

“Apatah lagi dengan pemansuhan PMR/PT3 oleh kerajaan telah menjadikan kelayakan memasuki perkhidmatan kerajaan ketika ini adalah minimum SPM dan had gaji permulaannya boleh ditingkatkan.

“Justeru, CUEPACS yakin penetapan gaji minimum baharu untuk sektor awam dengan diikuti latihan dan pembangunan mampu meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, situasi ekonomi semasa yang menyaksikan peningkatan harga rumah serta kejatuhan mata wang memerlukan penetapan gaji minimum baharu diatas pendapatan garis kemiskinan (PGK).

“Usaha ini juga dilihat mampu mengurangkan tekanan kepada penjawat awam yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, CUEPACS yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri yang sentiasa bersama penjawat awam boleh melaksanakan agenda memperkasakan perkhidmatan awam.

“CUEPACS juga berharap kerajaan dapat meluluskan dengan segera peruntukan tambahan bagi penebusan awal award wang tunai gantian cuti rehat (GCR),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here