MENTERI Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kini dikatakan semakin ‘kencang’ bercakap mengenai politik termasuk dalam kenyataan-kenyataannya berhubung ekonomi dan kewangan negara.
Wartawan veteran A Kadir Jasin, berkata keadaan itu akan memberi kesan kepada negara serta rakyat jelata, kerana segala rancangan, tindakan, tindak tanduk, percakapan termasuk lawaknya juga boleh bagi kesan kepada ekonomi.
“Orang daripada sektor swasta dan wartawan ekonomi taklah teruja sangat dengan Menteri Kewangan, (Senator) Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz. Malah banyak yang terkejut bila dia dilantik anggotai Kabinet oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dia ini macam batu bergolek yang pindah daripada sebuah syarikat ke syarikat yang lain. Tapi nasib dia baik. Terus naik dan naik. Ada orang kata kerana “pedigree” (asal usul keturunan) dan ada kata kerana “royal connection” (kaitan diraja).
“Apa-apa pun sejak Mac 2020 dia Menteri Kewangan dan segala rancangan, tindakan, tindak tanduk dan cakap dia bagi kesan kepada negara serta rakyat jelata. Dia melawak pun boleh bagi kesan kepada ekonomi,” katanya di Facebook, hari ini.
Menurutnya, sejak akhir-akhir ini, orang biasa pun mula berasa pelik dengan kenyataan-kenyataan Tengku Zafrul berkenaan ekonomi dan kewangan.
“Misalnya dia dilaporkan berkata, kerajaan tidak terlalu tumpu perhatian kepada prestasi ringgit tapi kepada pertumbuhan ekonomi.
“Kenyataan macam ini tentulah kelirukan orang ramai yang kurang faham atau tidak faham langsung berkenaan ekonomi. Orang yang tahu pula kata, dia dah mula merapu atau berdolak-dalik,” katanya.
Beliau mempersoalkan macam mana seorang Menteri Kewangan boleh berkata demikian seolah-olah duit tidak penting sedangkan duit adalah ukuran nilai segala-gala yang kita hasilkan dan gunakan.
“Pendek kata, apa yang Tengku Zafrul cakap pasal ekonomi dan kewangan negara semakin berbau politik sejak mula cergas dalam Umno dan dilantik Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor.
“Jangan-jangan dia pun berangan-angan jadi Perdana Menteri,” katanya sinis dan turut menyindir sama ada Tengku Zafrul ingin menjadi Menteri atau selebriti. – Malaysiapost

