SEMUA pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu bertanggungjawab sekiranya kerajaan gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jika kerajaan didakwa gagal menguruskan ekonomi dan negara ia bermakna Majlis Pemulihan Ekonomi Negara (MPN) yang dipengerusikan Muhyiddin juga gagal kerana majlis itu ditubuhkan untuk menjadi penasihat kepada kerajaan.
“Dari segi ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Ekonomi) ada mengurus ekonomi dan kita ada Majlis Pemulihan Ekonomi Negara yang dipengerusikan Muhyiddin sendiri.
“MPN pun menasihatkan kerajaan jadi tanggungjawab itu adalah tanggungjawab bersama. Kalau gagal maknanya semua gagal.
“Semua gagal termasuk Majlis Pemulihan Ekonomi juga gagal,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Dasar Tenaga Negara 2022-2040, hari ini.
Ismail Sabri bagaimanapun berkata, beliau belum membaca sepenuhnya kenyataan Muhyiddin dan maksud sebenar kenyataan beliau.
“Jadi saya tidak tahu apa cerita sebenarnya dan hari ini baru tahu. Saya belum baca detail lagi (kenyataan Muhyiddin),” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hari ini menyarankan Ismail Sabri untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), jika gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik. – Malaysiapost

