AMK seru adakan solat hajat buat Anwar

0
3

Aiman Hanif

Pemuda PKR menyeru supaya solat sunat hajat diadakan sejurus selepas Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan telah mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong Selasa ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir bagaimanapun meminta semua pihak supaya bertenang seperti mana saranan Anwar.

“Sehubungan dengan itu, saya bersama kepimpinan AMK ingin mengajak seluruh anggota parti serta pendokong PKR untuk melakukan solat sunat hajat dan mendoakan agar segalanya berjalan baik, penuh tertib dan lancar.

“Kita juga mendoakan keselamatan dan perlindungan buat keseluruhan rakyat Malaysia daripada wabak Covid-19.

“Solat sunat hajat boleh dilaksanakan mengikut kapasiti masing-masing di mana jua anda berada.

“Semoga Allah SWT kurniakan kepimpinan negara yang mempunyai halatuju dan stabil, juga kesembuhan dan perlindungan daripada wabak Covid-19 kepada seluruh rakyat Malaysia insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Anwar memaklumkan beliau telah mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, 13 Oktober ini.

Anwar berkata beliau akan mempersembah keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana disebutkannya sebelum ini.

“Saya amat berharap rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing, serta menghormati Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya menerusi kenyataan hari ini.- Malaysiapost.