Umno teliti dahulu perkembangan Anwar mengadap Agong – Zahid

0
2

UMNO akan meneliti terlebih dahulu pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diperkenan mengadap dengan Yang di-Pertuan Agong Selasa ini, sebelum mengambil sebarang tindakan selanjutnya.

“Apa yang boleh saya nyatakan di sini ialah Umno akan meneliti dengan penuh bijaksana hasil pertemuan dalam majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong,” kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seperti dilaporkan Suara Merdeka.

Ahmad Zahid berkata pendirian Umno berhubung perkara jelas sebagaimana keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) terdahulu.

Terdahulu, Anwar memaklumkan beliau telah mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, 13 Oktober ini.

Presiden PKR itu berkata beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana disebutkannya sebelum ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata Umno tidak dapat menghalang jika ada Ahli Parlimennya dan Barisan Nasional (BN) mahu menyokong Anwar.

Sementara itu, Pemuda Umno meminta Anwar menangguhkan dahulu hasrat menjadi Perdana Menteri ketika penularan Covid-19 yang kian meningkat.

Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan apakah sudah terhakis rasa belas dan simpati terhadap keresahan dan kepayahan rakyat di semua peringkat ketika ini yang saban hari memerah keringat.

“Saya ulangi saranan Pemuda Umno kelmarin untuk semua ahli politik melakukan ‘gencatan politik’.

“Tatkala rakyat resah dan gelisah inilah, sewajarnya ahli politik melangkaui sempadan parti bersolidariti dan menzahirkan jiwa besar mengenepikan perbezaan dan persengketean demi agenda membantu rakyat,” katanya. – Malaysiapost