Kaum India tidak akan tinggal belakang, PM beri jaminan

0
3

“NO one will be left behind” (tiada siapa akan ketinggalan), itu jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada komuniti India di negara ini tidak akan dipinggirkan dalam arus pembangunan.

Mengambil semangat Keluarga Malaysia, Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan telah meluluskan pelbagai peruntukan dan inisiatif bagi masyarakat India khusus untuk membasmi kemiskinan, pembangunan sosial, sosioekonomi dan kesejahteraan kaum itu.

“Antaranya RM100 juta di bawah Mitra (Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia) bagi membasmi kemiskinan dan pembangunan sosial masyarakat India bawah Kementerian Perpaduan. Sebanyak RM25 juta bagi program pembangunan usahawan masyarakat India. 

“Ini antara inisiatif kerajaan untuk Keluarga Malaysia daripada masyarakat India. Sebagai tambahan terhadap usaha sedia ada mesyuarat Kabinet juga telah meluluskan untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (JKMPSI) yang dipengerusikan oleh saya sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Briged MIC Kebangsaan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. 

Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden MIC SA Tan Sri Vigneswaran.

Ismail Sabri berkata, penubuhan jawatankuasa itu membuktikan Keluarga Malaysia daripada masyarakat India amat penting dalam pentadbirannya.

Menurutnya, ketika ini MIC sedang membuat libat urus dengan semua pihak berkepentingan sebelum semua cadangan daripada masyarakat India dibawa dalam mesyuarat JKMPSI dalam masa terdekat,

Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia telah melaksanakan pelbagai latihan peningkatan kemahiran dan pemahiran semula, ekonomi gig serta program lain yang memberi manfaat kepada golongan belia India di samping kerajaan turut memperuntukkan RM50 juta untuk membantu usahawan dan peniaga kecil kaum India.

“Untuk AIMS (Program Mobiliti Antarabangsa Asia untuk Pelajar), sebanyak RM25 juta telah diperuntukkan untuk membantu pelajar-pelajar universiti daripada golongan B40. Perkara ini tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Walaupun ketika Covid-19 melanda negara tetapi peruntukan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) tetap diberikan kepada SJKT seluruh negara dengan jumlah RM39 juta. Itu sewaktu Covid-19 dan saya yakin apabila keadaan pulih seperti biasa kita akan berikan peruntukan seperti yang telah kerajaan berikan sebelum Covid-19 melanda negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri meluluskan peruntukan RM2 juta untuk pelajar kaum India daripada golongan miskin tegar selain beliau bersetuju dengan cadangan Vigneswaran untuk meletakkan Mitra kembali di bawah Jabatan Perdana Menteri dan penubuhan Yayasan Mitra. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here