HASRAT mewujudkan Bangsa Malaysia akan terus diperjuang Barisan Nasional (BN) secara konsisten apatah lagi jika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebersamaan yang ada dalam kalangan parti komponen BN telah diterjemahkan sebaik-sebaiknya.
“Saya secara konsisten telah menyatakan bahawa BN akan terus mewujudkan sebuah negara bangsa Malaysia apatah lagi jika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Briged MIC Kebangsaan dan Pameran Pencegahan Jenayah di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kesemua kerusi yang pernah ditandingi MIC pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan kekal menjadi milik parti itu untuk ditandingi pada PRU-15.
Bagaimanapun Presiden Umno itu berkata, MIC juga boleh bertanding di kerusi lain, namun perlu berunding terlebih dahulu dengan Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Tan Sri Vicky (Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran) saya janji, berapa kerusi yang ada dan pernah ditandingi oleh MIC di dalam PRU14 dan pilihan raya lalu, itu memang MIC punya. Tan Sri Vicky, kalau mahu lebih pun boleh, itu kena rujuk dengan Tok Mat, saya ulang nak dapat lebih pun boleh tetapi runding dengan Tok Mat.
“Tetapi saya yakin Tok Mat, saya dan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan memberi pertimbangan sehabis baik kepada sokongan MIC kerana kita yakin kebersamaan yang ada dalam parti-parti komponen BN telah diterjemahkan sebaiknya,” katanya.
Pada PRU14, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen iaitu Sungai Siput dan Tapah di Perak; Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar dan Kota Raja (Selangor); Port Dickson (Negeri Sembilan); Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang). -Malaysiapost

