Pembakang putar belit kenyataan ‘redah banjir’ untuk hentam Zahid, Umno

0
3

KENYATAAN Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak sepatutnya disalah erti dan diputarbelit oleh pembangkang, kata Datuk Zaid Ibrahim.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, berkata kenyataan Presiden Umno berhubung kesediaan jentera parti itu ‘meredah banjir’ untuk berkempen sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada musim tengkujuh tidak seharusnya dijadikan modal politik. 

Katanya, Ahmad Zahid tidak sepatutnya dikecam dengan menuduh beliau kononnya tidak bertanggungjawab kerana tidak mempedulikan keselamatan orang ramai.

Zaid menjelaskan, Ahmad Zahid hanya ingin menunjukkan kesungguhan jentera BN yang bersedia meredah banjir sekiranya perlu berbuat demikian.

“Tak ada pun Presiden Umno kata beliau tidak peduli tentang keselamatan,” katanya menerusi video di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilapor berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur, semalam.

Susulan itu beberapa pemimpin pembangkang menyelar Ahmad Zahid kerana tidak memperkatakan langsung mengenai bantuan atau usaha menyelamatkan nyawa sekiranya banjir berlaku semasa kempen pilihan raya malah hanya menumpukan kepada jentera BN.

Menjelaskan mengenainya, Zaid berkata, adalah mustahil PRU15 akan berlangsung dalam situasi banjir besar kerana ia tidak akan dibenarkan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Zaid turut memberikan contoh PRU10 yang diadakan pada 29 November 1999, semasa musim tengkujuh namun situasi ketika itu tidak membahayakan.

“Kita tak perlulah cari isu-isu kecil seperti ini untuk hentam orang politik yang lain.

“Kita ambillah kenyataan dia itu dalam konteks Presiden Umno menunjukkan semangat jentera BN yang sanggup meredah banjir untuk berkempen.

“Bukan dia kata selamat tak selamat nyawa orang, kita buat juga pilihan raya, dia tak kata begitu,” katanya. 

Justeru, Zaid berharap agar budaya menghentam pemimpin politik parti lawan tanpa asas dapat dikurangkan.

“Semata-mata seorang pemimpin politik musuh kita berkata sesuatu, kita cari peluang, kita cari alasan untuk hentam dia. Ini sesuatu yang tidak sihat,” jelasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here