BN sanggup redah banjir demi PRU15 – Zahid

0
2

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Beliau yang juga Presiden Umno, menyifatkan isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat ini adalah jelas dan nyata.

Katanya, ia adalah berdasarkan laungan ‘Bubar’ oleh lebih 10,000 pemuda BN yang bergema dalam Stadium Titiwangsa, di Kuala Lumpur hari ini.

Ujarnya, susulan isyarat yang jelas itu pihaknya berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dapat menetapkan tarikh pembubaran Parlimen dalam masa terdekat ini.

“Kita tengah tunggu tarikh keramat, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut tetapi kalau Perdana Menteri bubar masa banjir pun, sanggup redah banjir untuk bertanding.

“Isyaratnya adalah jelas dan nyata…’top five’ diberikan mandat untuk berbincang tetapi tarikh belum ditetapkan.

“Jangan bincang sahaja…kena cepat jangan tunggu lama-lama kerana penghasut sedang bekerja keras…PRU15 tidak boleh ditunggu-tunggu lagi,” katanya memetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN, di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi peringatan sekiranya PRU15 dilaksanakan pada pertengahan November, ada kemungkinan banjir besar berlaku kerana angin monsun timur laut aktif ketika itu.

Ahmad Zahid berkata, penetapan masa yang sesuai adalah penting bagi memenangi PRU15 dan ia perlu dilakukan segera bagi mengelakkan penghasut di luar sana melemahkan parti dengan pelbagai fitnah dan tohmahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here