7 parti nak sertai BN – Ahmad Zahid

0
2

SEMANGAT perpaduan di kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) telah menarik parti-parti lain untuk menyertainya.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini terdapat tujuh parti yang ‘mengidam’ menyertai gabungan itu.

“Ada lapan parti dalam Friends of BN, ada tujuh yang mahu menyertai BN. Adakah kita tak buka minda untuk mereka?” katanya yang tidak mendedahkan parti-parti berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian dalam ucapan ketika Majlis Ramah Mesra dan Pelancaran Jentera BN Parlimen bahagian terbabit yang diadakan di Kompleks Umno Bahagian Bagan Datuk, semalam.

Pelancaran tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad merangkap Pengerusi BN Perak, yang turut memberikan taklimat berkaitan gerak kerja jentera pada Pilihan Raya Umum (PRU) kelak.

Menjelaskan mengenainya, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata, kemenangan BN bergantung kepada gerak kerja dan kekuatan jentera parti.

“Kini kita mahu calon dari BN yang meliputi mana-mana komponen pun akan terus mendapat sokongan, maka kita ketepikan apa-apa perbezaan untuk kita bekerja keras atas lambang BN.

“Kesungguhan untuk gerak kerja jentera memperlihatkan komitmen dalam kesiapsiagaan kerana PRU kali ini sangat-sangat mencabar,” katanya.

Presiden Umno itu berkata, ketika ini terdapat enam parti gabungan iaitu BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gerakan Tanah Air (GTA).

“Kesatupaduan parti-parti teras, Friends of BN dan tujuh parti lain yang ingin menyertai BN cukup kuat untuk berdepan PRU”

“Setiap hari pengundi bertambah khususnya pengundi 18 tahun. Situasinya berubah dan sekarang BN mesti kembali dominan dengan jentera yang bekerja luar biasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here