Kanak-kanak mangsa dera diselamatkan ketika mahu melarikan diri

0
2

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dipercayai mangsa dera berjaya diselamatkan selepas terperangkap pada belebas tingkap di tingkat 4 sebuah kondominium dekat Jalan Cahaya 13, Taman Cahaya, Ampang di Kuala Lumpur ketika dia cuba melarikan diri.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata kejadian disedari orang awam yang kemudiannya melaporkan kepada pihak bomba pada jam 4.41 petang.

Katanya, kanak-kanak itu dipercayai dikurung dalam sebuah bilik unit kondominium terbabit sebelum dipercayai cuba melarikan diri dengan keluar melalui tingkap bilik berkenaan dan terperangkap di belebas tingkap berkenaan.

“Anggota bomba yang tiba di tempat kejadian jam 4.48 petang tadi mendapati pintu kediaman itu sudah berjaya dipecahkan oleh pengawal keselamatan kondominium berkenaan.

“Kanak-kanak itu berjaya diselamatkan dan pemeriksaan mendapati mangsa dipercayai didera berdasarkan kesan birat dan luka pada tangan, lengan, kaki dan belakang badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata, mangsa adalah kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia lapan tahun dan ketika kejadian mangsa ditinggalkan berseorangan.

“Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here