Penting hayati Hari Malaysia – Abdul Hadi

0
2

PEMBENTUKAN Malaysia dalam meraikan masyarakat majmuk yang berbeza bangsa dan agama wajib dihormati, sebagai makna sebenar dalam meraikan Hari Malaysia, kata Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, Allah SWT menciptakan manusia dalam berbagai bangsa, suku dan puak yang menggambarkan kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya serta bertujuan supaya manusia sentiasa berkenalan (taaruf) antara satu sama lain.

Beliau berkata, manusia secara fitrah hanya menyembah Allah SWT, bagaimanapun setelah lama tinggal di dunia, mereka mewujudkan pelbagai kefahaman dan ajaran yang baru sehingga menimbulkan kekacauan dan perpecahan.

“Menurut al-Quran, manusia berasal daripada Adam dan Hawa yang melahirkan anak yang ramai. Setelah sepuluh abad kewafatan Nabi Adam AS, Allah SWT mengutuskan Nabi Nuh AS bagi menyelamatkan manusia daripada kesesatan.

“Selepas itu lahirnya keturunan-keturunan yang bertebaran di muka bumi dengan kepelbagaian bangsa dan bahasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook sempena Hari Malaysia hari ini.

Menurutnya, manusia secara fitrah juga diciptakan untuk bersatu-padu kerana Allah SWT menjadikan manusia saling memerlukan antara satu sama lain.

“Sebagai contoh, manusia memerlukan makanan. Makanan diperolehi dengan bercucuk tanam atau memburu. Maka, manusia memerlukan alat bagi mendapatkan makanan dan sekelompok manusia yang mempunyai kepakaran dalam mencipta alat itu.

“Segala kerjasama dan hasil daripada setiap kelompok manusia itu dikumpulkan. Inilah yang dinamakan masyarakat madani yang saling bertaaruf dan bekerjasama melalui perkongsian kepakaran kaum dan bangsa masing-masing,” katanya.

Abdul Hadi berkata Hari Malaysia ke-59 hari ini disambut dengan penuh aman damai dan peristiwa bersejarah 16 September 1963 itu amat penting untuk dihayati.

Menurutnya, ia bagi mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang sejahtera dengan semangat perpaduan antara kaum yang utuh.

“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat pelbagai kaum, bangsa dan agama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here