Kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu ditambah segera kepada 35% – Guan Eng

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=521091439387617&set=pb.100044602951844.-2207520000..&type=3

KERUSI Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu ditambah segera kepada 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen, tegas Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Menurutnya, ia bagi menyekat sentimen perkauman dan ekstrem secara dimainkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menutup kegagalan pengurusan ekonomi yang telah menyusahkan rakyat dan perniagaan.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah mengecewakan ramai pihak apabila memaklumkan kerusi bagi kedua-dua wilayah itu tidak sempat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Bagaimanapun, ini tidak seharusnya menghalang pindaan perlembagaan di Parlimen untuk melaksanakan peruntukan 35 peratus yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini.

“Cadangan ini harus dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan sekarang, untuk dilaksanakan pada masa hadapan pada pilihan raya umum yang seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Malaysia hari ini.

Beliau berkata, cadangan itu bukanlah sesuatu yang kontroversi mahupun menimbulkan perbalahan kerana setakat ini tiada parti politik yang berani menentang tambahan bilangan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak daripada 25 peratus sekarang kepada 35 peratus.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) akan menyokong pindaan perlembagaan sedemikian dan akan memastikan kelulusannya dengan majoriti dua pertiga yang diperlukan.

“Ini sama seperti sokongan awal PH terhadap pindaan perlembagaan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah yang sama dengan Semenanjung Malaysia, seperti yang digariskan di dalam Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara pemimpin PH dan Perdana Menteri pada September 2021.

“Memasukkan peruntukan 35 peratus dalam Perlembagaan Persekutuan adalah penting apabila BN dan PN, termasuk Menteri-Menteri bukan Islam di dalam Kabinet, berdiam diri dan memberikan sokongan tersirat mereka kepada ekstremisme dan perkauman secara terang-terangan oleh Pas yang berisiko menghakis hak orang bukan Islam,” katanya.

Guan Eng berkata, Pas secara terbuka mencampuri dan mengganggu gaya hidup, kebiasaan adat, dan amalan budaya orang bukan Islam.

Beliau berkata, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang telah mengancam perpaduan nasional dan mengganggu-gugat keharmonian agama dengan kenyataan perkauman dan ekstremis terhadap kumpulan minoriti, yang terbaru dengan menghina orang bukan Islam dengan tuduhan palsu sebagai punca rasuah di Malaysia.

“Walaupun pelbagai laporan polis telah dibuat di seluruh negara, rakyat masih menunggu tindakan daripada pihak berkuasa.

“Menggunakan perkauman dan ekstremisme adalah cara yang berguna dalam menutup kegagalan pengurusan ekonomi dan ketidakcekapan Menteri.

“Malaysia, khususnya Sabah dan Sarawak tidak mampu membiarkan golongan rasis dan ekstremis mentadbir dan merosakkan negara ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here