BKM Fasa 3 dibayar mulai 20 September ini – PM

0
1

PEMBAYARAN Fasa 3 dan Rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai 20 September secara berperingkat, dan dijangka selesai pada 27 September.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembayaran berjumlah RM2.2 bilion itu akan memanfaatkan seramai 8.7 juta penerima BKM.

Katanya, ia terdiri daripada penerima BKM sedia ada kategori isi rumah, warga emas bujang atau tiada pasangan dan bujang serta mereka yang telah lulus Rayuan BKM.

“Untuk BKM Fasa 3, setiap penerima BKM sedia ada bakal menerima sehingga RM900.

“Lebih daripada 80,000 penerima telah diluluskan Rayuan BKM dan akan menerima sehingga RM2,350 mengikut kategori kelayakan masing-masing termasuk Bantuan Tunai Tambahan yang diumumkan Kerajaan pada Jun yang lepas.

“Sehingga September 2022, sebanyak RM5.9 bilion telah disalurkan kepada penerima BKM melalui fasa pembayaran yang telah ditetapkan dan masih terdapat bayaran Fasa 4 berjumlah RM2.1 bilion yang akan disalurkan kepada mereka yang layak pada Disember 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 20 September melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

Katanya, kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan seluruh Keluarga Malaysia terutama ketika negara berdepan dengan cabaran kenaikan inflasi dan krisis geopolitik yang memberi kesan menyeluruh terhadap rantaian global.

“Kerajaan kekal komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar dengan aspek jaringan keselamatan sosial akan terus diberi tumpuan di dalam Bajet 2023,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here