Zaid kesal dikecam membela Najib

0
2

DATUK Zaid Ibrahim menyeru pihak yang tidak berpuas hati terhadapnya berkaitan isu pengampunan yang di-Pertuan Agong kepada Datuk Seri Najib Razak agar tampil dengan hujah dan alasan untuk menyangkal isu berkenaan.

Menerusi satu klip video di Facebook hari ini, Zaid berkongsi rasa kesalnya terutama terdapat segelintir peguam yang mencercanya saban hari kerana tidak berpuasa hati berikutan sering membela bekas Perdana Menteri itu.

“Selama 45 tahun saya jadi peguam, saya tidak pernah menerima tekanan, cemuhan, kata-kata kesat daripada peguam lain.

“Ada seorang peguam Melayu dia bukan peguam muda, dia peguam agak saya punya umur lah. Dia selalu menulis kepada saya melalui WhatsApp, mesej mengatakan saya ini peguam yang memalukan Melayu sebab saya bela Najib,” katanya.

Zaid berkata, sepatutnya mana-mana peguam yang tidak berpuas hati terhadapnya perlu menggunakan saluran yang betul iaitu membuat laporan bertulis kepada Majlis Peguam.

“Dia kata saya mengampu Najib soal pengampunan sebab nak dapat kerja lain daripada Najib. Dia kata saya lah punca Najib kalah dalam kes SRC, saya menipu Najib kerana wang ringgit.

“Dia tanya saya berapa saya dibayar oleh Najib, dan bermacam-macam lagi. Ini lah peguam di Kota Bharu ini yang saya pun tak kenal sangat dia.

“Jadi sikap sebegini yang tidak rasional, tiada batasan ini kebencian yang tiada batasan ini tidak sepatutnya ada kepada seorang peguam.

“Jika peguam di Kota Bharu ini merasakan saya telah menipu Najib, mengambil kesempatan, menyalahgunakan kedudukan saya sebagai peguam, buatlah laporan bertulis kepada Majlis Peguam. Apa guna hantar mesej kepada saya dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, Zaid menasihati peguam-peguam muda agar mengenepikan emosi dan hilang rasa rasional terhadap sesuatu kes, sebaliknya perlu kembali kepada tanggungjawab hakiki seorang peguam iaitu untuk mencari kebenaran.

“Kita peguam tidak boleh hilang rasional, kita mestilah berpandukan kepada undang-undang dan fakta.

“Jadi saya sampaikan ini kepada peguam lain lah, peguam yang ni dah tua mungkin tak boleh berubah perangai dia lah tapi kepada peguam lain kalian harus rasional, berpandukan berdasarkan fakta.

“Misalnya, tulislah di portal, di Facebook berikan hujah mengapa Zaid salah dalam soal beri pengampunan ini.

“Setiap peguam jangan lupa tanggungjawab asas kita perjuangkan apa yang benar,” katanya.

Zaid dan firma guamannya telah mengambil alih tanggungjawab menjadi peguambela Najib di saat akhir dalam proses rayuan hukuman Ahli Parlimen Pekan itu di Mahkamah Persekutuan.

Namun, pada 23 Ogos lalu, lima panel hakim Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Najib bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd dan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here